Thursday, August 13, 2009

cinta ini milik siapa?

Alangkah indahnya kejadian manusia yang diciptakan oleh pencipta yang agung iaitu Allah S.W.T dengan melahirkan rasa cinta di hati-hati manusia .Cinta ini merupakan fitrah bagi manusia samaada cinta manusia pada sang pencipta,cinta manusia pada manusia, cinta manusia pada alam dan cinta manusia pada makhluk lain di muka bumi Allah yang indah ini.Setiap manusia akan merasai nikmat yang dikurnikan oleh Allah dengan wujudnya rasa cinta di hati.Akan tetapi pada siapkan rasa cinta ini perlu diutamakan?

Cinta itu suci yang lahir dari hati yang suci dan murni. Sekiranya ianya diletakkan pada tempat yang selayaknya maka cinta ini tidak akan membinasakan manusia itu sendiri.Manusia akan merasai kenikmatan cinta yang hakiki sekiranya cinta itu diberikan pada yang mengwujudkan rasa cinta di hati manusia iaitu Allah S.W.T.Cinta padaNya,manusia tidak akan kecewa kerana Allah tidak pernah menggecewakan hambanya dan setiap janjinya adalah benar-benar belaka.Hanya cepat atau lambat sahaja seseorang itu akan memperolehinya dan setiap penantian memerlukan kesabaran yang jitu.

Sekiranya cinta padaNya menjadi dasar dan tunggak utama dalam mencari cinta, maka manusia tidak akan sesat dan binasa dalam merasai kenikmatan cinta.Cinta itu indah seindah penciptanya.Seperti mana sabda Rasulullah S.A.W:" Allah itu indah dan cintakan keindahan".Untuk mengetahui cinta itu,manusia perlu merujuk kembali kepada yang menciptakan cinta dan Dialah yang maha mengetahui rahsia disebalik cinta tersebut.

Islam tidak melarang cinta antara manusia sesama manusia akan tetapi cinta itu mempunyai peraturan yang tersendiri dan perlu untuk manusia mematuhinya supaya manusia akan mendapat keindahan, keselamatan, ketenteraman dan kebahagian daripada cinta tersebut.Peraturan cinta ini datang bukan dari manusia yang bercinta tetapi dari pencipta cinta iaitu Allah S.W.T dengan cinta tersebut mestilah dibina atas dasar cintakan Allah.Cinta itu juga tidak melebihi cinta kepada Allah.Ini tidak bererti manusia tidak boleh mencintai yang lain malah Islam sendiri membenarkan seorang ayah mencintai anaknya,seorang lelaki mencintai perempuan dan sebaliknya.Akan tetapi cinta itu mestilah didasarkan kepada cinta kerana Allah dan berlandaskan hukum syarak yang telah ditetapkan.

Bagaimana manusia itu boleh mengetahui cinta tersebut didasarkan cinta kerana Allah S.W.T?.Sebenarnya, untuk mengetahui cinta itu benar kerana Allah adalah yang pertama dengan melihat dan merasai cinta tersebut membawa kepada ketaat kepada Allah ataupun tidak.Cinta tersebut juga tidak melebihi cinta Allah.Yang keduanya pula adalah cinta itu tidak melanggar batas-batas syarak.Sekiranya kedua-dua ini wujud dalam sebuah percintaan, maka ianya adalah cinta yang suci dan murni.

Justeru, ketahuilah bahawa cinta ini milik Allah yang hakiki.Sebagai manusia dan hamba Allah yang lemah, kita mesti mendahulukan cinta itu untukNya supaya kehidupan kita diberkati dan kebahagian itu kita peroleh di dunia dan sekaligus di akhirat.Cintailah sesiapa pun yang ingin kita cintai asalkan cinta itu membawa kita untuk lebih dekat padaNya dan tidak melanggar hukum-hukum syarak.

0 comments:

Post a Comment