Thursday, August 13, 2009

Di mana Islam di hati kita

Sejak di alam roh lagi manusia sudah berjanji untuk beriman dengan Allah azawajalla dan mengaku tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Hatta sekali pun seseorang itu dilahirkan dari kalangan keluarga bukan Islam tetapi itulah hakikatnya janji kita kepadaNya sejak di alam roh lagi. Adakah kita sedar akan janji kita kepada sang pencipta yang agung ini. Kita sering alpa dan mungkir janji dengan apa yang telah dijanjikan.

Sebagai seorang yang dikurniakan nikmat Islam dan iman sepatutnya kita bersyukur dan berterima kasih kerana dilahirkan dalam keadaan keluarga yang beragama Islam. Sudah pasti kita akan menjalankan tanggungjawab dan janji kita kepadaNya agar beriman serta bertaqwa kepadaNya. Dengan melihat diri kita sendiri sudah cukup untuk kita menyakini bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan yang Maha Esa kerana sesungguhnya kejadian kita adalah sebaik-baik kejadian dan agama Islam adalah agama yang sempurna.

Akan tetapi apa yang berlaku sekarang, kita lupa pada janji-janji kita. Islam hanya pada nama sahaja.Ajaran agama Islam tidak lagi diamalkan. Kononnya Islam tidak lagi sesuai digunakan pada zaman global ini. Kita lebih mementingkan duniawi tanpa mengindahkan ukhrawi. Malah kita sesuka hati berpendapat dan sentiasa memandang hari akhirat sebagai sesuatu yang remeh. Satu perkara yang boleh diketepikan dan hanya diberi perhatian pada waktu tua nanti.

Kita sering berfikir dan beranggapan bahawa waktu tua adalah waktu yang sesuai untuk kita melaksanakan ajaran Islam. Padahal kita tidak mengetahui samaada kita masih wujud atau tidak.Adakah dunia menginginkan kita atau kita tidak lagi menginginkan dunia. Sesungguhnya manusia akan mati. Tidak ada seorang pun manusia yang lahir ke dunia ini sejak zaman Nabi Adam lagi hingga ke hari ini dapat kekal hidup. Keadaan ini jelas apabila kita perhatikan Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap yang bernyawa pasti akan menghadapi maut.” (Surah Ali Imran: Ayat 185).

Sedarlah akan hakikat ini wahai sahabat bahawa kita tidak akan hidup kekal di dunia kerana dunia ini hanya pinjaman semata-mata. Ketahuilah bahawa satu perbuatan yang amat merugikan jika kita hidup dengan melakukan sesuatu perkara yang dilarang dan meninggalkan semua perkara yang disuruh oleh Allah S.W.T. Sepatutnya ajaran Islam kukuh di hati kita. Barulah kita akan merasai kebahagian dan nikmat Islam itu sendiri.

Sekiranya kita sedar akan hakikat kejadian kita dan tujuan kita dijadikan, kita tidak akan alpa seperti mana yang berlaku pada zaman ini. Bukan hanya kita beragama Islam hanya taklid semata-mata tetapi mengamalkan ajaran atau syariat Islam dengan sebenar-benarnya kerana Islam merupakan agama yang sempurna dan sesuai untuk sepanjang zaman.

Sesungguhnya, hati manusia ini sebenarnya lembut dan memerlukan kepada ketenangan. Tidak ada cara yang paling berkesan untuk mendapatkan ketenangan hati serta mencapai keluhuran hidup di dunia yang singkat ini melainkan dengan mengabdikan diri kepada Allah dengan mengamalkan ajaran Islam. Hal ini jelas dinyatakan Allah dalam FirmanNya yang bermaksud:“Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu.” (Surah Az-Zarriyat: Ayat 56)

Wahai sahabat, ketahuilah bahawa untuk menjadi hamba Allah yang sejati, kita perlu meletakkan Islam di hati kita supaya segala tindak tanduk hidup kita adalah semata-mata kerana Allah.S.W.T serta untuk menjadikan hidup kita tidak sia-sia di dunia ini. Kajilah apakah motif utama kita dijadikan di muka bumi yang indah ini. Di mana kedudukan kita disisi sang penciptanya.


Oleh yang demikian, beruntunglah kita dilahirkan sebagai seorang Islam.Keindahan ajaran agama Islam sekiranya kita hayati kedasar hati dan sanubari yang mendalam, insya Allah kita akan memperoleh kenikmatan yang abadi dan semoga kehidupan kita berada di bawah dakapan ilahi.

0 comments:

Post a Comment